Sunday, August 5, 2012

Rezki Allah

Bulan Ramadhan muncul lagi.....
Namun, syukur Alhamdulillah aku masih diberi kesempatan oleh Allah untuk menjalani ibadah puasa. Itu bermakna aku masih diberi nikmat hidup dan diberi peluang untuk betulkan apa yang tidak betul dalam kehidupan aku.

Bulan Ramadhan kali ini berlainan sedikit dari tahun-tahun lepas. Aku tidak lagi bersama seseorang yang sangat aku hargai selama ini. Akhirnya aku ambil keputusan untuk berpisah dan membawa haluan masing-masing, setelah hampir 3 tahun aku bertahan. Maka tahun ini segala-galanya telah berubah. Percaya atau tidak setelah hampir 15 hari berpuasa, aku hanya sekali sahaja pergi pasar Ramadhan dan membeli juadah berbuka...! Yang selebihnya aku memasak dirumah.. [ senyum sampai telinga..].
Nikmat sungguh dapat makan masakan sendiri. Macam-macam masakan yang selama ini aku rindu nak makan, semuanya aku masak. Walaupun tak ada lah sedap mana, tapi aku puas sebab ianya hasil air tangan aku sendiri..
Satu  lagi sebab aku sempat untuk balik memasak lepas habis kerja ialah kerana jarak rumah sewa dengan pejabat aku dah dekat. Tak sampai sejam dah boleh sampai rumah. Tak rasa penat memandu lagi [senyum kepuasan]

Satu lagi kelainan bulan Ramadhan kali ini ialah tentang kerja aku. 
Tahun 2006 aku datang ke KL ini untuk bekerja walaupun itu adalah perkara paling aku tak suka buat. Pengalaman 4 tahun berada di Melaka dan jauh dari kampung halaman buat aku serik. Namun aku terpaksa mengalah dengan takdir yang telah tertulis untuk aku. 
Dari tahun 2006 sehingga tahun 2010, aku berjuang dalam kerjaya aku. Perjuangan untuk mendapat status pekerja tetap di tempat yang bekerja. Perit dan sengsara aku bekerja sebagai pekerja kontrak selama hampir 4 tahun, hanya aku seorang yang tahu. Bagaimana aku terpaksa mengikat perut dan menjadi seorang yang kedekut dengan anak-anak buah aku, semuanya aku telan seorang diri. Bagaimana aku menangis setiap kali akhir tahun dan setiap kali kontrak diperbaharui, cuma aku yang tahu. Orang yang memandang hanya mampu bersimpati sahaja. 
Namun, berkat usaha dan rezki dari Allah, tahun 2010 aku dapat kerja yang setaraf dengan kelulusan aku. Ini bermakna gaji yang aku dapat adalah lebih tinggi sedikit dari yang dulu. Namun status aku masih pekerja kontrak. Alasan yag diberi adalah kerana itu adalah prosidur syarikat. Aku redha dan terima.
Alhamdulillah tahun 2011 aku akhirnya mendapat jawatan tetap. Penantian hampir 5 tahun akhirnya menjadi kenyataan. Namun ketika itu aku perlu mula dari bawah. Jika dibandingkan, kalau 5 tahun yang lepas aku mendapat jawatan setara dengan kelulusan aku, mungkin aku sekarang sudah boleh memiliki rumah sendiri, tapi aku pasrah dengan takdir. Mungkin nasib aku tak sebaik orang-orang lain yang senang mendapat pekerjaan. Aku terima rezki yang Allah berikan kepada aku buat masa ini.  Aku perlu tunggu 5 tahun lagi untuk dapat seperti mana rakan-rakan sebaya aku dapat.

Namun, rezki Allah tidak siapa pun yang tahu. Tahun 2012, syarikat aku membuat satu pelarasan gaji bagi semua pekerja untuk jawatan seperti aku. Tak semena-mena, gaji yang aku dapat sekarang adalah setara jika aku bekerja dalam jawatan itu 5 tahun lepas...! Hanya ambil masa lebih kurang 2 tahun sahaja Allah telah beri apa yang aku sepatutnya dapat. Ini membuatkan aku rasa penantian dan cabaran yang aku lalui selama hampir 6 tahun lepas itu sangat sangat berbaloi..! Syukur aku pada Allah tidak terkata. Semua yang mustahil dapat DIA berikan sekelip mata sahaja. 

Aku pernah beri tempoh kepada diri aku untuk berada di KL ini. Aku berikan sehingga umur aku mencecah 30 tahun. Sehingga tempoh itu,sekiranya aku tidak dapat apa yang aku hajatkan, maka aku akan pulang ke kampung halaman. 
Namun sekarang, umur aku sudah pun 30 tahun dan Allah telah tunaikan hajat aku......
Mungkin aku perlu terus di sini dan mula merancang untuk terus di sini. Mungkin sudah tiba masanya untuk aku membina hidup baru di sini.
Sebelum ini aku tak pernah merasa aku 'belong to here'. Aku rasa seolah-olah aku hanya datang menziarah sahaja disini. Aku tak pernah rasa sebenarnya aku perlu ada kehidupan disini. 
Namun sekarang, aku rasa aku sudah perlu mencari kehidupan disini. Mungkin aku perlu menghabiskan sisa-sisa hidup aku di sini. Di kampung halaman, aku dah tak ada sesiapa.......

aku : Bestnya kalau arwah mak dan ayah ada ketika ini. Kalau tak dapat kongsi rezki ini dengan mereka...Al-Fatihah buat mak dan ayah